Ahad, 17 September 2017

PEPERANGAN YARMUK


Peperangan Yarmuk merupakan peperangan paling penting dalam sejarah dunia kerana ianya menandakan bermulanya

  1. kebangkitan besar dan pertama penaklukan Muslim di luar Arab serta 
  2. penyebaran Islam ke Mesopatamia, Palestin dan Syria yang sebelum ini penduduknya beragama Kristian.

Peperangan Yarmuk berlaku pada tahun 634M bersamaan 13H adalah peperangan kedua selepas Peperangan Mu'tah ( 629M / 8H ) Tentera Muslimin menentang Tentera Rom.

Dalam peperangan ini, Khalid bin al Walid telah dilantik sebagai panglima perang Tentera Muslim.


Bagi menyekat kemaraan Tentera Islam dan mendapatkan kembali wilayah yang terlepas, Maharaja Heraclius menghantar satu ekspedisi besar ke Levant pada Mei 634. Dengan ini maka tentera Islam telah berundur dari Syria dan berkumpul semula di dataran Yarmuk.

Peperangan Yarmuk berlangsung selama enam hari. Hari keempat Peperangan Yarmuk merupakan hari paling sedih bagi Tentera Islam di mana mereka telah dihujani anak panah Tentera Rom.


Namun pada hari keenam, dengan harapan yang tinggi untuk menang, Tentera Islam lebih segar, bersemangat dan bersedia untuk berperang.

Dalam peperangan Yarmuk, Tentera Islam seramai 45 ribu telah berjaya mengalahkan Tentera Rom yang berjumlah 400 ribu.

 PAHLAWAN YARMUK 

➭ASMA' BINTI YAZID AS SAKAN

Keinginannya untuk berjihad terbit sejak kewafatan Nabi s.a.w. Dalam Peperangan Yarmuk, Asma binti Yazid berada di barisan belakang .

Dengan bersenjatakan sebatang tiang khemah, beliau telah menyusup masuk ke dalam medan pertempuran dan berjaya membunuh sembilan orang Tentera Rom.

Asma' binti Yazid wafat pada tahun 30H / 651M iaitu selepas tujuh belas tahun berlakunya Peperangan Yarmuk.


➭ GREGORIUS THEODORE

Gregorius Theodore ( Jarajah ) adalah Komander dan panglima perang Tentera Rom yang gagah dan hebat.

Setelah berlawan pedang dengan Khalid al Walid, beliau telah bertanya  sesuatu mengenai Islam.

Mendengarkan jawapan Khalid al Walid, Gregorius mengisytiharkan keislamannya di hadapan ratusan ribu Tentera Rom dan Islam .

Beliau sempat belajar Islam dan solat dua rakaat sebelum menyertai Khalid al Walid dan Tentera Muslimin menentang Tentera Rom. Dalam pertempuran ini, Gregorius telah gugur syahid.


➭IKRIMAH BIN ABU JAHAL

Ikrimah bin Abu Jahal adalah sepupu kepada Khalid bin al Walid. Beliau dahulunya seorang yang paling kuat memusuhi Rasulullah.

Dalam peperangan Yarmuk, Ikrimah dan empat ratus perajurit Muslim telah menggempur pasukan musuh sehinggalah ia gugur Syahid.

  PEMECATAN KHALID BIN ALWALID  

Apabila Saidina Abu Bakar wafat, Saidina Umar telah memecat Khalid al Walid dan menggantikannya dengan Abu Ubaidah al Jarrah.

Khalid menerima keputusan itu dengan tenang dan berkata " Saya berjihad bukan kerana Umar ". 


Hasil kerjasama antara Khalid al Walid dan Abu Ubaidah, Tentera Islam telah berjaya menawan Aleppo, Damsyiq dan Baitul Muqaddis ( Jerusalem ).

Kaisar Heraclius terpaksa berundur ke Constantinople meninggalkan semua wilayah Syria yang telah dikuasainya selama lima abad.

Pembukaan kota ketiga suci dalam Islam pada tahun 15H / 636M adalah kemuncak kepada Peperangan Yarmuk. 

Atas permintaan Patriach Sopronius, Ketua Paderi Baitul Muqaddis, Saidina Umar bersetuju memasuki kota ini dalam keadaan aman tanpa berlaku sebarang pertumpahan darah.

Disediakan oleh...
Haji Jim Nun al Urduni
Akademi AlQuran Annajah
Ampang,
Selangor.

BLOG:
www.annajahcemerlang.blogspot.com

Tiada ulasan:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

NASYID (UMMI, YOUR MOTHER & MU'ALLIM)


VideoPlaylist
I made this video playlist at myflashfetish.com