Rabu, 30 Julai 2014

PEMBUKAAN KOTA ISTANBUL



Istanbul atau Costantinople yang diasaskan oleh Costantine I pada tahun 330M merupakan salah sebuah bandar utama dunia dan pernah menjadi ibu negara bagi Empayar Byzantine. 

Kota ini dikelilingi dengan lautan dari tiga penjuru iaitu Selat Bhosphore, Laut Marmara dan Perairan Tanjung Emas (Golden Horn) . Dari kedudukan yang strategik ini, telah menjadikan kota ini amat istimewa kepada umat islam.

Usaha untuk menawan kota ini telah dimulakan sejak tahun 44H iaitu di zaman Muawiyah bin Abi Sufian RA., kemudian diteruskan oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik pada tahun 98H dan Khalifah Harun Ar-Rasyid pada tahun 190H. Namun kesemua usaha ini telah menemui jalan buntu.

Sahabat nabi, Abu Ayyub Al-Ansari pernah menyertai misi ini namun beliau telah syahid dan dikebumikan di pinggir kota berkenaan.

Selepas kejatuhan Kerajaan Bani Abbasiah pada tahun 656H, usaha menawan Costantinople diteruskan oleh Kerajaan Seljuk. Di awal kurun ke-8 hijrah Daulah Othmaniyyah telah mengadakan persepakatan bersama Seljuk Rum untuk menawan Costantinople. Hasilnya, Sultan Yildrim Beyazid telah berjaya mengepung kota itu pada tahun 796H / 1393M.

Namun dengan kedatangan bantuan dari Eropah dan serangan tentera Mongol di bawah pimpinan Timurlank ke atas Daulah Othmaniyyah telah memaksa Sultan Beyazid menarik balik tenteranya. Dalam peperangan itu, Sultan Beyazid telah ditawan dan meninggal dunia pada tahun 1402M. Usaha seterusnya disambung oleh Sultan Murad II (824-863H / 1421-1451M).



Sultan Muhammad Al Fatih dan pembukaan Kota Costantinople

Sultan Muhammad Al-Fatih,adalah putera kepada Sultan Murad II merupakan sultan ke-7 Daulah Othmaniyyah. Semenjak kecil, Sultan Muhammad Al-Fatih telah meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Costantinople. Beliau telah menaiki takhta pada tahun 855H / 1451M.

Sultan Muhammad Al-Fatih telah ditarbiah secara intensif Asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani dan Asy-Syeikh Ak Samsettin (Syamsuddin) iaitu ulamak terulung di zamannya

Beliau telah membina Kota Rumeli (Rumeli Hisari) di tebing Eropah Selat Bosphorus iaitu di bahagian tersempit antara tebing Asia dan Eropah. Kota yang berhadapan dengan kota binaan Sultan Beyazid di sebelah tebing Asia ini, telah berjaya mengawal lalu lintas di selat tersebut.

Sultan Muhammad Al-Fatih juga berusaha untuk mempertingkatkan kelengkapan tenteranya dengan menyediakan kira-kira 400 buah kapal laut dan mendapatkan khidmat pakar membina meriam bernama Orban.

Selain daripada itu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengadakan perjanjian dengan musuh-musuh Kerajaan Byzantine. Perkembangan ini sangat membimbangkan Maharaja Byzantine.

Keazaman yang begitu kuat pada diri Sultan Muhammad Al-Fatih telah mendorong Maharaja Byzantine berusaha mendapatkan pertolongan daripada
negara-negara Eropah yang berfahaman Katholik. Atas dasar bermuka-muka demi mengekalkan kuasanya, Maharaja Byzantine dalam khutbahnya di Gereja Aya Sofya telah bersetuju untuk menukarkan mazhab di Costantinople daripada Orthodoks kepada Katholik. Langkah berani Maharaja Byzantine ini telah mendapat kecaman hebat daripada seluruh penduduk Costantinople.



Selepas melalui proses persiapan yang teliti, akhirnya Sultan Muhammad Al-Fatih telah tiba di hadapan kota Costantinople pada hari Khamis 26 Rabiul Awal 857H bersamaan 6 April 1453M. Di hadapan tentera yang berjumlah 250 ribu, Al-Fatih telah menyampaikan khutbah yang mengingatkan para mujahid tentang kelebihan jihad, kepentingan memuliakan niat dan harapan kemenangan di hadapan Allah SWT dsb.


Beliau juga membacakan ayat-ayat Al-Quran mengenainya serta hadith Nabi SAW tentang pembukaan kota Costantinople. Ini semua memberikan kesan semangat yang tinggi dan jitu pada bala tentera itu.


Sultan Muhammad Al-Fatih telah menyusun dan membahagikan tenteranya kepada tiga kumpulan iaitu 
1. kumpulan yang bertugas didaratan yang mengawal kota yang mengelilingi Costantinople, 

2. kumpulan yang diletakkan di beberapa kawasan strategik seperti kawasan-kawasan bukit di sekitar 

Kota Byzantine 

3. kumpulan yang diletakkan di sekitar perairan yang mengelilingi Costantinople

Semenjak hari pertama serangan, tentera Byzantine telah berusaha keras menghalang tentera Othmaniyyah daripada merapati pintu-pintu masuk kota mereka. Tetapi serangan strategik tentera Islam telah berjaya mematahkan halangan itu, ditambah pula dengan serangan meriam dari pelbagai sudut. Bunyi meriam itu telah menimbulkan rasa takut yang amat sangat kepada penduduk Costantinople sehingga menjejaskan semangat mereka untuk bertahan.



Pada 18 April 1453M, pasukan penyerang Othmaniyyah telah berjaya memecah tembok Byzantine di Lembah Lycos yang terletak di sebelah barat kota. Tentera Byzantine telah berusaha sedaya upayanya untuk mempertahankan kota dari serangan itu. Pertempuran sengit berlaku bersama iringan hujan anak panah yang amat dahsyat.

Pada hari yang sama, beberapa buah kapal laut Othmaniyyah telah cuba merempuh rantai besi di Tanjung Emas. Akan tetapi, gabungan tentera laut Byzantine dan Eropah telah berjaya menangkis serangan itu.

Kegagalan serangan tersebut telah memberikan kesan yang besar kepada tentera Othmaniyyah. Sultan Muhammad Al-Fatih telah menemui satu kaedah luar biasa untuk membawa masuk kapalnya ke perairan Tanjung Emas. Beliau telah menyarankan kepada tenteranya supaya membawa kapal-kapal masuk ke perairan Tanjung Emas melalui jalan darat. Malam itu juga, tentera Othmaniyyah dengan semangat dan kekuatan luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu!.

Pagi 22 April itu, penduduk Costantinople dikejutkan dengan laungan takbir dan nasyid para mujahidin di Tanjung Emas. Dengan kedudukan tentera Othmaniyyah yang sudah semakin mantap, Sultan Muhammad Al-Fatih telah melancarkan serangan besar-besaran ke benteng terakhir Byzantine. Tembakan meriam telah berjaya memusnahkan sebuah kapal dagang di Tanjung Emas hingga menyebabkan tentera Eropah yang lain lari ketakutan. Semenjak kejayaan kapal mujahiden memasuki perairan Tanjung Emas, serangan dilancarkan siang dan malam tanpa henti. 




Hagia Sophia ( Ayasofia ) .. asalnya gerejadijadikan masjid dan kini sebagai muzium.

Kecintaan Sultan Muhammad Al-Fatih kepada Costantinople yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, mendorong beliau untuk terus berusaha memelihara kota ini dari kemusnahan. Untuk itu beliau telah meminta Costantine menyerahkan Costantinople secara aman. Namun begitu Costantine tetap berdegil dan memilih jalan untuk berperang.

Tepat jam 1 pagi hari Selasa 20 Jamadil Awal 857H / 29 Mei 1453M, serangan utama dilancarkan. Para mujahidin diperintahkan supaya meninggikan suara takbir kalimah tauhid sambil menyerang kota. Penduduk Costantinople telah berada di kemuncak ketakutan mereka pada pagi itu. Mujahidin yang sememangnya menginginkan syahid, begitu berani menyerbu tentera salib di kota itu.

Tentera Othmaniyyah akhirnya berjaya menembusi kota Costantinople melalui Pintu Edirne dan mereka telah mengibarkan bendera Daulah Othmaniyyah di puncak kota.
Sultan Muhammad Al-Fatih kemudiannya menuju ke Gereja Aya Sofya dan mendapati sebahagian besar penduduk kota berkenaan berlindung didalamnya dalam keadaan ketakutan.



 Sultan Muhammad Al-Fatih meminta salah seorang paderi supaya menenangkan sekalian mereka yang ada. Dengan toleransi Al-Fatih, ramai yang keluar dari tempat persembunyian masing-masing bahkan ada di kalangan paderi yang terus menyatakan keislaman mereka.

Selepas itu, Sultan Muhammad Al-Fatih mengarahkan supaya Gereja Aya Sofya ditukar menjadi masjid. Sultan Muhammad Al-Fatih telah mendirikan solat Jumaat yang pertama bersama para muslimin di Masjid Aya Sofya. dan Khutbah Jumaatnya telah disampaikan oleh Asy-Syeikh Ak Semsettin.



Nama Costantinople kemudiannya ditukar kepada "Islam Bol", yang bermaksud "Bandar Islam" dan kemudiannya dijadikan sebagai ibu negara ketiga Khilafah Othmaniyyah selepas Bursa dan Edirne . Kekallah bumi yang mulia itu sebagai pusat pemerintahan, ketamadunan, keilmuan dan keagungan Islam berkurun lamanya sehingga Sultan Abdul Hamid 2 khalifah terakhir Daulah Othmaniyyah digulingkan pada tahun 1924M

Tiada ulasan:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

NASYID (UMMI, YOUR MOTHER & MU'ALLIM)


VideoPlaylist
I made this video playlist at myflashfetish.com