Ahad, 20 Februari 2011

ABU UBAIDAH AL JARRAH

Nama sebenarnya Amir bin Abdullah bin Al Jarrah bin Hilal Al Fihri Al Quraisy. Terkenal dengan nama Abu Ubaidah Al Jarrah. Beliau lahir di Mekah berasal dari keluarga Quraisy yang terhormat iaitu dari suku al-Harith ibn Fihr. Beliau masuk islam sehari selepas Abu Bakar as Siddiq bersama Abdul Rahman bin Auf  dan Arqam bin Abu Arqam.

Abu Ubaidah juga merupakan antara sahabat yang berhijrah ke Habsyah, dan kemudian ke Madinah dan merupakan salah seorangMuhajirin yang hadir semasa saqifah Bani Sa'ad.

Beliau salah seorang sahabat yang dijamin masuk Syurga. Berperawakan tinggi, kurus, berwibawa, bermuka ceria, selalu merendah diri dan amat pemalu. Kerana itu beliau disenangi oleh mereka yang mengenalinya.

Setelah menjadi pengikut Nabi Muhamad saw, Abu Ubaidah al Jarrah sanggup menghadapi kesulitan dan bersifat berani ketika berada di medan perang. Beliau mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah saw. Dalam perang Badar Abu Ubaidah al Jarrah cuba mengelak dari bertembung dengan ayahnya yang berada dalam pasukan Quraisy yang menentang Rasulullah saw.
Dalam pertarungan itu Abu Ubaidah al Jarrah terpaksa membunuh ayahnya. Beliau berasa amat sedih sehingga turun ayat Al-Quran surah Al Mujadalah ayat 22 yang bermaksud.

Engkau tidak dapati satu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat yang mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasulullah, walaupun orang tersebut adalah ayah kandung, anak, saudara atau keluarganya sendiri. Allah telah mematri keimanan di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan ruh (semangat). Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka akan kekal di dalamnya. Allah meredhoi akan mereka dan mereka meredhoi akan Allah. Mereka itulah tentera Allah, ketahuilah bahwa tentera Allah pasti akan berjaya.” (Al Mujadalah ayat 22)

KELEBIHAN ABU ABDULLAH AL JARRAH

Rasulullah saw pernah bersabda;
“Sesungguhnya dalam setiap kaum terdapat orang yang jujur. Orang yang jujur di kalangan umatku adalah Abu Ubaidah al Jarrah.”

Dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda lagi.

“Tiap-tiap umat ada orang yang memegang amanah. Dan pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaiodah al Jarrah.”

Banyak lagi Hadis Nabi yang menceritakan tentang kelebihan Abu Ubaidah  antaranya "Setiap umat ada penjaga amanahnya dan penjaga amanah bagi umatku adalah Abu Ubaidah Al Jarrah"

"Tiga orang yang paling terkemuka dalam suku Quraisy memiliki sifat yang terbaik dan paling sederhana. Mereka adalah Abu Bakar , Uthman bin Affan dan Abu Ubaidah al-Jarrah"

Semasa berlakunya perang Uhud, Rasulullah saw terkena anak panah yang dilepaskan musuh lalu tersangkut pada rahang baginda. Abu Ubaidah al Jarrah mencabut anak panah itu dengan giginya sehingga giginya tercabut. Rasulullah saw memberinya gelaran “Gagah dan Jujur”.

Suatu hari datang satu rombongan dari Najran menemui Rasulullah saw lalu meminta baginda menghantar seorang yang boleh dipercayai bagi menyelesaikan pertengkaran di kalangan mereka serta mengajar agama Islam. Rasulullah saw berjanji akan menghantar seorang sahabat yang gagah dan jujur. Sehubungan dengan itu Umar al-Khattab berharap beliau yang akan dipilih Rasulullah saw tetapi orang yang berani dan jujur yang dimaksudkan itu ialah Abu Ubaidah al Jarrah.

Beliau merupakan antara calon pilihan Abu Bakar untuk menjadi khalifah bersama Umar. Namun umat Islam ketika itu sepakat untuk memilih Abu Bakar sebagai Khalifah Rasulullah yang pertama.
Saidina Umar pernah mencalonkan beliau sebagai calon khalifah, namun beliau meninggal dunia terlebih dahulu daripada Saidina Umar  akibat wabak Taun Amwas pada 640 M.

Beliau juga dikenali oleh orang Islam dan Yahudi Madinah pada ketika itu sebagai perunding dan pembuat keputusan yang terbaik di kalangan para sahabat. Seorang yang zuhud, tidak tamak kuasa dan harta. Ketika khalifah Umar al Khattab berkunjung ke Baitul Maqdis, beliau singgah di rumah Abu Ubaidah al Jarrah. Dilihatnya yang ada dalam rumah ketua panglima Islam itu hanyalah pedang, perisai dan pelana kuda sahaja.  

Di bawah pemerintahan khalifah Umar al Khattab, Abu Ubaidah al Jarrah dilantik menjadi ketua pasukan tentera Islam menggantikan Khalid bin AlWalid bagi menakluk kota-kota besar yang berada di bawah pemerintahan Rom seperti Kota Damsyik, Syria, Syam, Kota Aleppo, Kota Hims, Kota Antakiah dan Kota al Quds di Baitul Maqdis. Beliau berjaya dalam tugas yang diberikan itu dan berjaya menakluk Baitul Maqdis.

Setelah menyelesaikan tugasnya, berlaku wabak penyakit Taun di Syam. Khalifah Umar al-Khattab mengirim surat memanggil Abu Ubaidah al Jarrah pulang ke Madinah namun beliau menolaknya kerana tidak sanggup membiarkan penduduk Syam dan tenteranya dalam bahaya sedangkan dia melarikan diri. Beliau menulis surat kepada Umar al Khattab.

Wahai Amirul Mukminin! Sebenarnya saya tahu tuan memerlukan saya, akan tetapi saya sedang berada di tengah-tengah tentera Muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusannya terhadap saya dan mereka. Oleh sebab itu, sesampainya surat saya ini, tolonglah jangan paksa saya pulang ke Madinah dan izinkanlah saya tinggal di sini.”

Setelah Umar al Khattab membaca surat itu, beliau menangis sehingga para sahabat menyangka Abu Ubaidah al Jarrah sudah meninggal dunia. Umar menjawab, kematiannya sudah di ambang pintu.

Sebelum meninggal dunia Abu Ubaidah al Jarrah sempat berpesan kepada tenteranya, “Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, puasalah di bulan Ramadhan, berdermalah, tunaikanlah ibadah haji dan umrah, saling nasihat menasihatilah. Berilah nasihat kepada pimpinan kamu, jangan menipu, jangan terpesona dengan harta dunia. Sesungguhnya Allah telah menetapkan kematian untuk setiap manusia, kerana itu semua manusia pasti akan mati. Orang yang paling beruntung adalah orang yang paling taat kepada Allah dan paling banyak bekalnya untuk akhirat.”

Abu Ubaidah al Jarrah meninggal dunia pada tahun 18 Hijrah / 640 M di Urdun dalam wilayah Syam. Jenazahnya dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom dan Parsi. Ketika itu beliau berumur 58 tahun. Tempatnya diambil alih oleh Muad bin Jabal.

0 ulasan:

Blog Widget by LinkWithin

NASYID (UMMI, YOUR MOTHER & MU'ALLIM)


VideoPlaylist
I made this video playlist at myflashfetish.com

ABU LUQMAN AL URDUNI

Hosted by RockYouPhotos.com