Bulan Ramadhan adalah salah satu daripada bulan-bulan yang dimuliakan Allah. Di bulan yang penuh rahmat dan barakah ini umat Islam telah diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu.
Ibadah puasa telah disyariatkan kepada umat Islam pada tahun kedua Hijrah sebagaimana Firman Allah dalam surah alBaqarah ayat 183 maksudnya. " Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa"
Semasa Rasulullah berkhalwat di Gua Hira, Malaikat Jibrail telah datang kepada Rasulullah dan menurunkan kepada Baginda wahyu yang pertama iaitu Surah Al Alaq ayat satu hingga lima. Peristiwa ini berlaku pada 13hb Ramadhan tahun 13 Sebelum Hujrah (SH) dan ketika itu Baginda berusia 40 tahun . Firman Allah dalam surah alBaqarah ayat 185 maksudnya "Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda "
Untuk mengetahui apa yang sebenarnya yang berlaku, Khadijah telah membawa Rasulullah berjumpa dengan bapa saudaranya yang bernama Waraqah bin Naufal seorang pendeta Nasrani. Waraqah bin Naufal memberitahu bahawa kejadian itu adalah tanda tanda Kenabian Rasulullah.
Selain daripada itu banyak peristiwa penting yang berlaku pada bulan Ramadhan antaranya
17 Ramadhan 2H
Perang Badar Al-Kubra
Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 8 Ramadhan. Ibnu Hisyam menyatakan bahawa perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik. Perang ini berlaku pada pagi Jumaat, 17 Ramadhan 2H di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini yang telah megalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah.
20 Ramadhan 8H
Futuhul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) dan Penghancuran Berhala
Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Baginda berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukadid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Setelah penaklukan Mekah, Rasulullah tinggal di kota itu selama 15 malam dengan melakukan sembahyang qasar. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah mengutuskan Khalid al-Walid untuk menghancurkan berhala Uzza, Amr bin Ash merobohkan Suwa’, dan Saad bin Zaid Al-Asyhaly menumbangkan Manat.
Ramadhan 92H
Pembukaan Kota Andalus dan penyebaran Islam ke Afrika Utara, Iran, Afghanistan, Yemen dan Syria
Wali Khilafah Ummayyah di Utara Afrika Musa ibn Nusair, bersama-sama dengan Paglima tentera Islam, Tariq Ziyad yang megetuai 12 000 tentera Islam berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 yang diketuai sendiri oleh Raja Rhoderic.
Sebelum bertempur dengan tentera Raja RhodericTariq bin Ziyad telah mengarahkan tenteranya membakar kapal- kapal perang lalu berkata, ”Sesungguhnya, syurga Allah terbentang luas di hadapan kita, dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan, sama ada mati lemas, ataupun syahid”.
Pasukan tentera Muslimin telah berjaya mengalahkan tentera-tentera kuffar pimpinan Raja Rhoderic, dan seterusnya membebaskan keseluruhan Sepanyol, Sicily dan sebahagian Perancis. Di sini, bermulanya zaman keemasan Islam di Andalus, dengan Islam menguasainya selama 700 tahun.
Salahuddin Al Ayubi mengalahkan Tentera Salib
Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib.
Ramadhan 658H
Tentera Muslimin pimpinan Saifudin Qutuz berjaya mengalahkan tentera Tartar
Semasa kejatuhan Daulah Islam Bani Abbasiah di Baghdad, Tentera Tartar telah membunuh 1.8 juta kaum Muslimin serta mengarahkan penduduk Kristian supaya memakan babi dan meminum arak secara terbuka dijalanan dan mengarahkan agar masjid- masjid disirami dengan arak serta melarang laungan Azan.
Saifudin Qutuz, pemerintah Mesir ketika itu telah mengumpulkan semula kekuatan kaum muslimin untuk meghancurkan tentera Tartar dan bertembung dengan mereka pada Jumaat, 25 Ramadhan 658H di Ain Jalut.
Peperangan ini turut disertai oleh isteri Sultan Saifudin Qutuz, Jullanar yang akhirnya syahid di medan pertempuran. Semasa beliau nazak, Saifudin Qutuz memapahnya dan berkata ”Wahai Kekasihku”. Ini dibalas oleh Jullanah dengan mengatakan, ”Janganlah kamu berkata demikian. Kasih lagilah kamu terhadap Islam”. Setelah itu, tentera- tentera ini terus berjihad, dan kemenangan di raih oleh Islam di depan pintu gerbang Mesir di Kota Ain Jalut.
Dari apa yang dipaparkan ini adalah sebahagian sahaja, masih banyak lagi peristiwa penting seperti Penurunan Kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s., Persiapan Perang Khandaq (Ramadhan 5H), Perang Tabuk (Ramadhan 9H ), Kemenangan tentera Islam di Rhodesia (Ramadhan 53H ) dan Kemenangan dakwah Bani Abbas di Khurasan dibawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasany ( Ramadhan 129H ),
Kini jelas kepada kita bahawa bulan Ramadan bukannya bulan yang melemahkan umat Islam sebaliknya bulan yang banyak memberi kejayaan kepada umat Islam.
Selain daripada peristiwa yang memaparkan kejayaan umat islam terdapat kisah – kisah sedih yang menimpa diri umat islam. Trajedi pembunuhan 15Ramadhan 1414H di Masjid Ibrahimi ( juga dikenali sebagai Masjid KhalililRahman ), Hebron adalah suatu trajedi yang sukar dilupakan dan masih segar dalam ingatan umat islam. Seramai 29 orang telah syahid dan 300 orang yang lain telah mengalami kecederaan.
Namun begitu, trajedi seumpama ini tidak sekali-kali mematahkan semangat jihad umat islam malah telah membangkitkan satu gerakan Intifadhah menentang segala kezaliman dan kekejaman bangsa Yahudi di bumi Palestin.
Selasa, 24 Ogos 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)










0 ulasan:
Catat Ulasan